Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Pahang


Utusan Online - Pahang


UMNO tanding di Kuantan?

Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 13 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak menolak kemungkinan Parlimen Kuantan akan ditandingi calon UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, apa yang penting adalah memastikan kemenangan BN setelah kehilangan kerusi tersebut kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, perkara itu juga perlu jelas kerana isunya bukan soal ditandingi UMNO atau MCA tetapi siapa yang boleh membawa kemenangan kepada BN.

"Kalau UMNO boleh menang, kita akan letakkan calon daripada UMNO. Kerusi Parlimen Kuantan sebelum ini pernah ditandingi dan dimenangi UMNO sebelum ini. Apa pun ini tetap bergantung kepada kebijaksanaan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita juga akan tumpu kepada kekuatan sendiri, sebab itu saya tidak peduli tentang perebutan kerusi antara pembangkang. Saya tak anggap kelemahan mereka kekuatan kita," katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Pahang, di sini semalam.

Beliau mengulas spekulasi media mengenai kerusi Parlimen Kuantan yang dikatakan akan ditandingi semula UMNO dalam pilihan raya umum ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon MCA yang mewakili BN di kerusi itu, Datuk Fu Ah Kiow tewas kepada calon PKR, Fuziah Salleh dengan majoriti 1,826 undi.

RM300,000 naik taraf Medan Selera Triang

Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT

Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada peniaga gerai sayur ketika melakukan tinjauan di pekan sehari di pekan Triang, Bera, kelmarin.

BERA 13 April - Kerajaan memperuntukkan RM300,000 bagi menaik taraf medan selera di pekan Triang termasuk membina tandas, menukar atap serta menambah serta menukar meja dan kerusi makan di premis tersebut.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM7 juta bagi kerja-kerja menambah baik dan menceriakan pusat perniagaan termasuk gerai di seluruh negara tahun ini.

Katanya, bajet tersebut merupakan transformasi kerajaan untuk mewujudkan tempat perniagaan yang selesa dan ceria kepada peniaga dan penjaja dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

"Kebersihan dan suasana yang ceria di premis makanan mampu menarik lebih ramai pelanggan mengunjungi kawasan gerai berkenaan untuk menjamu selera.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited membantu peniaga dan penjaja kerana peranan mereka penting dalam membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," kata Ismail Sabri selepas melawat pekan sehari di bandar Triang di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberitahu, kajian juga akan dijalankan ke atas gerai tepi jalan milik individu yang diluluskan pihak berkuasa tempatan untuk dinaik taraf.

Beliau turut mengingatkan peniaga dan penjaja supaya berdaftar dengan persatuan peniaga dan penjaja serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan skim perlindungan insurans percuma.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM16 juta bagi skim itu dengan keutamaan diberikan kepada peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan persatuan terbabit.

Pas ketandusan calon di Jerantut

Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT

KUANTAN 13 April - Pas dilihat ketandusan calon sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Jerantut apabila meletakkan individu yang pernah tewas di situ untuk bertanding sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, parti itu dilihat tidak berani melakukan transformasi politik apabila meletakkan calon sama yang sebelum ini telah ditolak rakyat.

Menurutnya, langkah itu membuktikan parti berkenaan tidak yakin terhadap muka baharu berbanding UMNO yang dijangka menampilkan calon sesuai dan disenangi rakyat Jerantut.

"Pas tidak berani melakukan transformasi politik dan yakin calon terbabit mampu memenangi kerusi Parlimen tersebut.

"Walaupun telah ditolak rakyat sebanyak dua kali, Pas Pahang masih tidak serik kerana mereka menganggap calon terbabit mampu memenanginya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Amizan berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengumumkan timbalannya, Dr. Hamzah Jaafar bertanding untuk kali ketiga bagi kerusi Parlimen Jerantut pada pilihan raya umum nanti.

Hamzah sebelum ini pernah tewas dua kali bagi kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 kepada penyandang sekarang, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Wan Amizan memberitahu, walaupun Pas meletakkan orang yang sama di situ, UMNO serta Barisan Nasional (BN) tidak gentar dan akan mempertahankan kerusi Parlimen Jerantut pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau yakin pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai calon sesuai dan boleh menang dalam memastikan mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Jengka 19 FELDA Jengka 19

Copyright 2010 All Rights Reserved