Kosmo Online - Varia |
- Habuan berkongsi tempoh bual
- Tuanku Abdul Halim Canselor UiTM keempat
- Raikan Hari Ibu di Atmosphere 360
| Posted: Habuan berkongsi tempoh bual
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kata-kata keramat itu sesuai diberikan kepada seorang suri rumah, Afiza Azmi, 21, yang memenangi hadiah utama peraduan kempen Celcom Airtime Share anjuran syarikat telekomunikasi gergasi negara, Celcom Axiata Berhad. Suri rumah yang berasal dari Kampung Debak Laut, Sri Aman, Sarawak itu membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3 FLX dalam satu majlis penyerahan hadiah baru-baru ini. "Saya merupakan pengguna setia rangkaian Celcom sejak lebih tiga tahun lalu dan terkejut setelah diumumkan sebagai pemenang menerusi peraduan tersebut. "Saya tidak menyangka dengan hanya menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual bersama saudara-mara dan sahabat-handai, saya dipilih sebagai pemenang hadiah utama," katanya. Menurutnya, dia juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Celcom kerana memilihnya sebagai pemenang utama peraduan tersebut. Penyerahan hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Operasi, Data Terkini Celcom, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. Peraduan yang dianjurkan oleh syarikat telekomunikasi berkenaan berlangsung selama lima minggu dan berakhir pada awal tahun ini. Sebanyak 35 buah Samsung Galaxy Tab 7 Plus diberikan kepada setiap pemenang harian yang menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual dipilih menerusi peraduan tersebut. Dalam pada itu, Afizulazha turut berkata, Celcom sentiasa memberi peluang kepada pengguna rangkaian tersebut untuk menerima ganjaran pada setiap peraduan yang ditawarkan. ![]() AFIZA (tengah) meraikan kemenangan sambil diapit oleh Azrin (kiri) dan Afizulazha pada majlis penyerahan hadiah baru-baru ini di Kuala Lumpur. "Selain daripada tawaran ganjaran, kami juga menawarkan kemudahan perkongsian tempoh bual prabayar bersama keluarga dan rakan-rakan pada bila-bila masa. "Kami juga bercadang untuk terus mengadakan peraduan bagi kempen tersebut pada tahun ini untuk disertai oleh pengguna-pengguna rangkaian Celcom, " katanya. Celcom turut mengadakan promosi melalui kempen Celcom Airtime Share yang bermula pada 5 Februari sehingga 12 Mei 2012. Pengguna Celcom berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti, televisyen LCD dan telefon BlackBerry dan pelbagai hadiah dengan hanya menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual sebanyak tiga kali seminggu. Pengguna prabayar dan pascabayar rangkaian Celcom boleh menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual serendah RM1 bersama keluarga dan rakan-rakan dengan hanya menaip RM<jumlah tambah nilai> dan hantarkan ke 1<nombor telefon penerima>. Sementara itu, kepada pengguna Celcom yang ingin membuat permintaan tempoh bual, taip RQ <jumlah tambah nilai> dan hantarkan ke 1<nombor telefon penghantar>. | ||
| Tuanku Abdul Halim Canselor UiTM keempat Posted: Tuanku Abdul Halim Canselor UiTM keempatOleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
PELANTIKAN Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember tahun lalu mencatat sejarah tersendiri kepada seluruh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila Seri Paduka menjadi Canselor UiTM yang keempat. Tuanku Abdul Halim menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus selaku Canselor UiTM yang ketiga. Canselor UiTM yang pertama ialah Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail sebagai Canselor kedua. Istiadat pemasyhuran Tuanku Abdul Halim sebagai Canselor UiTM akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor universiti berkenaan di Shah Alam, Selangor pada hari Sabtu (esok), 12 Mei. Ia akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Pelantikan Seri Paduka adalah mengikut Seksyen 19A(2) Akta UiTM (Pindaan) 2000 yang menyebut Canselor UiTM ialah Yang di-Pertuan Agong secara langsung sepanjang tempoh pemerintahannya. Ia selaras dengan asas penubuhan UiTM di atas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Maka, tanggungjawab untuk memelihara keistimewaan golongan tersebut adalah terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Ini memberi tafsiran bahawa peranan Seri Paduka mengikut Perkara 153 dan peranan UiTM mengikut penubuhannya di bawah Seksyen 1A Akta 173 sebenarnya adalah serupa. Oleh kerana peranan sama untuk melindungi dan memajukan hak istimewa golongan itu, kerajaan dan Parlimen memilih Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar menjelaskan, jawatan tertinggi universiti itu bukan suatu pelantikan khas yang dipilih oleh kerajaan atau UiTM, sebaliknya sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang Persekutuan yang dibuat di Parlimen. Kurniaan unik Menurutnya, undang-undang tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 2000 dan diterbitkan dalam Warta pada 18 Mei 2000. Berdasarkan peruntukan itu, setiap Seri Paduka adalah Canselor UiTM untuk tempoh lima tahun semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. "Mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor merupakan suatu kurniaan yang unik untuk UiTM dan seluruh warga universiti rasa amat berbangga," kata beliau ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di UiTM Shah Alam baru-baru ini. Sahol Hamid menjelaskan, Canselor berfungsi sebagai Ketua Universiti dan bertindak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak di UiTM. Selain itu, Canselor boleh melantik atas nasihat Menteri mana-mana individu menjadi Pro-Canselor dan memegang jawatan tersebut selama tempoh yang diperkenankan. "Jika Canselor tidak dapat menjalankan mana-mana fungsinya, Seri Paduka boleh memberi kuasa kepada mana-mana Pro-Canselor untuk menjalankan fungsi ini bagi pihak baginda," ujar beliau. Katanya, istiadat konvokesyen UiTM turut diadakan mengikut sebagaimana diarahkan oleh Canselor. Pada setiap istiadat konvokesyen, Canselor akan menganugerahkan ijazah, diploma dan kepujian akademik lain kepada para graduan cemerlang. Di samping itu, Canselor akan menganugerah ijazah atau kurniaan kehormat kepada individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara dalam pelbagai bidang. "Pada 12 Mei ini, Tuanku Abdul Halim juga bakal melaksanakan antara fungsinya sebagai Canselor baharu sempena Istiadat Konvokesyen ke-76 UiTM," katanya. | ||
| Raikan Hari Ibu di Atmosphere 360 Posted: Raikan Hari Ibu di Atmosphere 360
ANDA masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk bersama insan yang paling istimewa bergelar ibu pada 13 Mei ini? Apa kata jika anda singgah ke Atmosphere 360 yang terletak di Menara Kuala Lumpur. Restoran tersebut menawarkan juadah tradisional Melayu dan pelbagai hidangan cita rasa antarabangsa dalam suasana yang cukup istimewa. Terletak di tengah-tengah ibu kota dengan ketinggian 282 meter, restoran yang bercirikan hiasan dalaman bak kapal angkasa itu pasti menjanjikan pengalaman baharu buat ibu anda. Menurut Master Chef Eksekutif Masakan Cina, Chef Chan Choo Kean, restoran Atmosphere 360 menawarkan hidangan bufet dengan lebih 50 pilihan hidangan yang menyelerakan. Promosi bermula dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang. Menurut Choo Kean, beliau dan Chef Masakan Barat, Chef Abdul Halim Mansor mencipta satu menu istimewa sebagai hidangan signatur sempena Hari Ibu yang pasti memikat selera. "Menu itu ialah asam pedas ekor lembu yang dimasak selama hampir sejam sehingga kuahnya pekat. "Walaupun sedikit kering, ia masih dapat menonjolkan rasa asam pedas asli kerana menggunakan bahan-bahan yang segar dan berkualiti," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Antara hidangan lain yang disediakan termasuklah masak lemak nanas ikan merah, masak lemak tempoyak ikan patin, itik panggang dan udang mentega. Tambah Choo Kean, jika pengunjung inginkan kelainan, mereka berpeluang menikmati lebih daripada 10 seleksi sushi, sashimi dan tempura yang disajikan bersama nori shoyu atau sos berasaskan rumpai laut. "Kita juga menyajikan hidangan tempatan seperti mihun Singapura, roti canai bersama kuah dal, dim sum serta ikan bakar dan air asam. "Pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan pencuci mulut tradisional seperti serawa durian, bubur pulut hitam, tat kelapa dan pelbagai pilihan kek" jelasnya. |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





0 ulasan:
Catat Ulasan