Khamis, 29 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan


Kosmo Online - Hiburan


Sepakat memilih tarikh perkahwinan 4 Mei 2012

Posted:

Sepakat memilih tarikh perkahwinan 4 Mei 2012

Sepakat memilih tarikh perkahwinan 4 Mei 2012

AIR MATA lelaki pemilik nama Ahmad Awaluddin Ashaari atau Awal Ashaari, 31, tumpah jua tatkala video dia melutut melamar kekasihnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha Al-Yahya, 29, dalam program Propanganza ditayangkan pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sambil menyapu air mata di pipinya, Awal memberitahu, dia menangis ekoran melihat reaksi Scha yang terkejut sehingga menangis ketika dia melamar kekasihnya itu.

"Scha tak pernah menangis depan saya. Bagi saya dialah perempuan paling macho pernah saya jumpa. Tapi, apabila Scha menangis sewaktu saya melamarnya, saya berasa sungguh terharu," tutur Awal mengenai video lamaran yang disiarkan menerusi Propaganza secara langsung pada 25 Mac lalu.

Celah Scha, dia menangis ketika lamaran itu kerana dia tidak menyangka kekasihnya itu akan melamarnya ketika mengacarakan program tersebut.

Katanya, jika dia tahu Awal ingin melamarnya di situ, dia tidak akan mengacarakan program tersebut pada hari itu.

Risau disalah tafsir oleh sesetengah pihak, ujar Awal, lamaran tersebut dilakukan bukan kerana ingin mengikut budaya Barat tetapi sekadar mahu menunaikan permintaan Scha yang pernah bertanya kepadanya tentang tarikh dia akan membuat lamaran secara terbuka seperti yang pernah dilakukan oleh kebanyakan orang.

"Kerana rasa tercabar dia cakap saya tak pernah mahu melamar dia seperti mana dalam babak-babak filem cinta, saya lantas nekad melamarnya secara terbuka. Sebenarnya pasang niat mahu melamarnya secara terbuka sudah lama dirancang. Namun, semuanya gagal.

"Pertama kali saya pasang niat mahu melamar Scha sewaktu Anugerah Industri Muzik tahun lalu tetapi tak berjaya kerana wujud beberapa halangan.

"Selepas itu saya pasang niat mahu melamarnya dengan meletakkan cincin di dalam kek cawan tapi niat itu tak dilaksanakan takut dia tertelan cincin tersebut pula. Akhirnya, selepas sepakat dengan kru Propaganza saya dibenarkan melakukan lamaran secara langsung dalam program tersebut," ujarnya lega.

Pasangan merpati dua sejoli ini akhirnya membuka mulut dan sepakat memilih tarikh 4 Mei ini untuk melangsungkan pernikahan.

Memilih Hotel Pullman, Putrajaya untuk melangsungkan akad nikah, Awal dan Scha seterusnya memilih tarikh 6 Mei untuk majlis resepsi perkahwinan mereka yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ungkap Awal, bukan niat untuk berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka walaupun sudah membuat keputusan untuk berkahwin pada bulan yang sama dengan pasangan Lisa Surihani dan Yusri Abdul Halim berkahwin iaitu Februari lalu.


AWAL dan Scha kini sepakat untuk melayari bahtera rumah tangga.


"Selama ini ramai orang kata kami berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan tetapi sebenarnya saya dan Scha terlalu sibuk dengan kerja. Malah, akibat kesukaran untuk menempah dewan membuatkan kami melewatkan sedikit tarikh perkahwinan," jelas Awal.

Awal juga melahirkan rasa syukur kerana ramai pihak yang sudi menaja perkahwinannya bersama Scha itu.

Bekas pengacara Fuhh! itu juga telah memilih saluran Astro untuk bertindak sebagai penyiar rasmi majlis pernikahan dan resepsi mereka.

Pertemuan pertama

Menceritakan detik perkenalan mereka, dedah Awal, dia terpikat dengan Scha sejak pelakon utama Awan Dania itu menyertai pertandingan Dewi Remaja pada tahun 2007.

"Ketika itu saya ditugaskan mengacarakan program tersebut dan dia menjadi peserta pertandingan itu. Saya terpikat dengan Scha pertama kali melihat dia dan menjangkakan kemenangannya pada pertandingan itu.

"Namun, perkenalan kami bukan terjalin sewaktu itu. Selepas setahun tidak bertemu dia, pada tahun 2008 ketika sesi fotografi saya meminta sebuah majalah untuk digandingkan bersama Scha. Bermula sesi fotografi tersebut kami mula bertukar nombor telefon namun hubungan kami sekadar teman kerana Scha sudah memiliki teman lelaki," ujarnya.


RESTU. Pasangan Awal dan Scha diapit oleh ahli keluarga masing-masing.


Sudah jodoh, akhirnya Awal bertemu semula dengan Scha ketika sama-sama mengacarakan pertandingan Sehati Berdansa. Mengetahui Scha masih belum berpunya, Awal lantas segera memulakan langkah untuk menambat hati Scha. Namun, ia bukan mudah kerana Scha ketika itu baru patah hati selepas putus cinta dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad.

Tahu selera wanita idaman hati, Awal setiap hari menghantar kek cawan ke rumah Scha. Akhirnya, Scha terbuka hati lalu menerima Awal sebagai kekasih.

"Awal hadir dalam hidup saya ketika saya patah semangat dan menghadapi kesulitan selepas putus cinta. Dia banyak memberi kata-kata semangat dan dia jugalah tempat saya mengadu dan menangis. Melihatkan kesungguhan dia saya terbuka hati menerimanya," ujar Scha.

Syarat Awal kepada Scha

Ditebak dengan persoalan apakah syarat yang dikemukakannya kepada Scha selepas berkahwin nanti, Awal tanpa berselindung memberitahu, dia tidak mengizinkan Scha memeluk mana-mana lelaki dalam apa juga babak dalam drama mahupun filem selepas bergelar isteri kelak.

Bukan cemburu tetapi menurut Awal, syarat tersebut dikenakan untuk memastikan rumah tangga mereka kekal harmoni tanpa sebarang pergaduhan.

Selain syarat tidak memeluk lelaki, Awal juga meminta bakal isterinya itu pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam dan tidur bersama dirinya dalam apa jua keadaan.

"Apabila bergelar isteri kelak, saya harap Scha tidak menerima tawaran lakonan yang memerlukannya memeluk lelaki. Ia perlu bagi menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak. Biarlah tawaran watak yang diterima sesuai dengan status isteri yang dibawanya.


TIDAK dapat menahan emosi, Awal mengalirkan air matanya sambil diperhati Scha setia di sisinya.


"Selain itu, Scha juga kena pulang rumah sebelum pukul 12 tengah malam. Tapi, kalau sudah tak dapat dielakkan mahu buat macam mana. Saya juga mengikut nasihat ibu saya bahawa walau apa jua keadaan sama ada bergaduh sekalipun, suami isteri tetap kena tidur bersama dan bukan berasingan.

"Berdasarkan pesanan-pesanan daripada rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan orang tua-tua, mereka memberitahu, jika suami isteri tidur bersama akan menguatkan lagi keutuhan mahligai perkahwinan," ungkap Awal.

Scha yang tidak mengetahui permintaan Awal terkejut dengan syarat-syarat tersebut. Bagaimanapun, dia tidak kisah dengan syarat tersebut memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi arahan suami.

Scha yang baru sahaja mengetahui tentang syarat Awal itu agak terkejut selepas ditanya oleh pihak media.

"Saya pun tak tahu ada syarat selepas kahwin. Tapi, saya tiada masalah dengan syarat-syarat dia. Sebagai isteri, saya perlu mengikut kata-katanya," ujarnya ketawa.

Permintaan Scha terhadap Awal pula tidak melebihi sekadar mahu bakal suaminya itu menjaganya seperti mana dia menjaga ibu dan keluarganya.

Girls' Generation tawan Kuala Lumpur

Posted:

Girls' Generation tawan Kuala Lumpur

Girls' Generation tawan Kuala Lumpur


PERSEMBAHAN memukau daripada Girls' Generation di KLCC jumaat lalu.


HUJUNG minggu lalu pada 23 Mac, buat pertama kalinya kumpulan wanita popular Korea Selatan, Girls' Generation yang dianggotai oleh sembilan orang gadis jelita iaitu Taeyeon, Jessica, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun menjejakkan kaki di Malaysia apabila diundang mengadakan persembahan pada konsert Twin Towers@Live 2012 yang berlangsung di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Kedatangan mereka itu sememangnya dinanti-nantikan oleh ribuan peminat mereka yang membanjiri perkarangan KLCC.

Sebaik sahaja Girls' Generation naik ke pentas peminat lelaki terutamanya mula menggila, sehingga ada yang menjerit nama mereka dan ada juga yang tidak mempedulikan orang sekeliling dengan terus menderu ke hadapan pentas demi mendapatkan posisi terbaik ketika kumpulan gadis cantik itu membuat persembahan.

Memakai pakaian serba putih dengan 'uniform' rasmi mereka iaitu seluar pendek, Girls' Generation yang datang ke Kuala Lumpur tanpa seorang anggotanya iaitu Yuri telah mendendangkan enam buah lagu popular mereka termasuk The Boys, Hoot, Run Devil Run dan juga Gee sebagai lagu penutup.

Sekali-sekala mereka berkomunikasi dengan penonton dalam bahasa Korea yang kemudian diterjemahkan oleh anggota mereka yang fasih berbahasa Inggeris iaitu Jessica.

"Terima kasih Malaysia. Akhirnya kami berada di Malaysia, kami sangat teruja dan berjanji akan kembali lagi ke Malaysia." ucap Sooyoung.

Konsert yang berlangsung secara percuma selama dua hari itu sempena perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad lepas itu turut menampilkan penyanyi Nicole Scherzinger serta persembahan tarian daripada juara program realiti tarian Showdown 2011, Elecoldxhot.

Turut serta ialah artis-artis tempatan seperti DJ Prem, James Baum, Reshmonu dan DJ Nadine.

Def Gab C nafi berpecah

Posted:

Def Gab C nafi berpecah

Def Gab C nafi berpecah

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


ANGGOTA Def Gab C kini terdiri daripada (dari kiri), Cha'a, Ah Tonk, Eddie dan Asheed.


SUDAH lima tahun kumpulan yang terkenal dengan lagu Cinta Sakti dan Marilah Maria, Def Gab C menyepi tanpa sebarang kemunculan album baharu. Kali terakhir mereka muncul dengan album kompilasi The Best of Deb Gab C pada tahun 2006, manakala album studio terakhir mereka, Raw diterbitkan pada 2004.

Justeru, adakah kumpulan yang dianggotai Asheed, Eddy, Jemboo dan Ah Tonk itu sudah berpecah dan perjuangan seni muzik rock mereka sudah berkubur?

Kesempatan bertemu Def Gab C pada sidang akhbar pelancaran album terbaharu mereka berjudul, Neolithic di Restoran The Ship, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini membuka peluang untuk merungkai tentang persoalan tersebut.

"Sebenarnya kami tidak pernah berpecah. Ada ketika Asheed pernah keluar dengan album solonya dan yang lain pula, masih bermain muzik.

Cuma apabila Jemboo mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan, dari situ kami mengambil masa yang agak lama untuk mencari pengganti yang sesuai.

"Akhirnya, kami berjumpa Cha'a dan dapati dia sesuai dengan kumpulan kami dan kami juga tiada sebarang masalah untuk bersama dengannya memandangkan kami sudah kenal lama.

"Cara dia bermain gitar juga bertepatan dengan konsep yang kami bawa dan juga kelainannya diharap dapat menyuntik perspektif baharu buat Def Gab C," jelas Eddie.

Maka, Def Gab C kini dianggotai oleh empat anggota iaitu Asheed, Eddie, Ah Tonk termasuk gitaris baharu mereka, Cha'a yang menggantikan Jemboo.

Album Neolithic pula memuatkan 10 buah lagu termasuk enam lagu baharu dan selebihnya lagu lama yang pernah hit suatu ketika dahulu. Antara lagu baharu Def Gab C termasuklah Rinai, Kurnia dan Cinta Di Mana.


PERSEMBAHAN Def Gab C terbukti masih hebat sewaktu mendendangkan dua buah lagu baharu mereka, Rinai dan Cinta Di Mana.


Bermatlamat mahu memberi bonus tambahan kepada para peminat yang sentiasa menyokong karier dan perkembangan mereka, sebab itu Def Gab C turut melancarkan juga album video cakera padat VCD dan karaoke Neolithic.

Dalam pada itu, ujar vokalis Def Gab C, Asheed, mereka juga sedang membuat perancangan untuk mengadakan sebuah konsert mini di Sandakan, Sabah yang mungkin diadakan pada bulan Julai.

Ditebak persoalan mengapa lokasi yang dipilih ialah Sabah, jawab Asheed: "Ini kerana penonton di sana masih lagi mendengar dan memberi sambutan yang hebat bagi lagu-lagu dan kumpulan lama.

"Jadi, kami memilih tempat di Sabah kerana di sana memang ramai peminat yang menantikan konsert seperti ini. Kami juga akan bergandingan bersama kumpulan lain dalam konsert itu kelak."

Berbicara mengenai penjualan album Neolithic yang telah pun dilancarkan tahun lepas, jelas Eddie, ia telah pun terjual sebanyak 10,000 unit dan sangat bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Music Valley Malaysia Production (MVM) untuk menghasilkan sebuah album penuh.

"Terima kasih kepada MVM Production kerana mempercayai pada era ini, memang sukar untuk sebuah kumpulan muncul dengan sebuah album penuh.

"Kelainan yang ditampilkan dalam album ini mungkin dari segi bunyi. Ini kerana sebelum ini, album-album kami bersama Jemboo.

"Namun kini, kita tampilkan Cha'a dan diharap diterima peminat," akhiri Eddie yang juga mengatakan Cha'a ada menyumbangkan sebuah lagu ciptaannya yang berjudul Walaupun dalam album baharu Def Gab C itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Jengka 19 FELDA Jengka 19

Copyright 2010 All Rights Reserved