Jumaat, 20 Mei 2011

Utusan Online - Timur


Utusan Online - Timur


Khasiat madu lebah kelulut

Posted:

Khasiat madu lebah kelulut

Khasiat madu lebah kelulut

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@yahoo.com


Sarang Kelulut yang mengandungi Bee Bread.


KOTA BHARU 19 Mei - Kelulut merupakan antara 33 jenis spesies lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik.

Berbeza dengan kebanyakan lebah, kelulut tidak berbahaya kepada manusia dan madu yang dihasilkan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Selain madu, dua lagi bahan dihasilkan oleh lebah kelulut yang sangat istimewa ialah bee bread iaitu campuran polen dengan madu, air liur dan cairan dari perut lebah yang boleh membantu masalah pencernaan dan fermentasi.

Sementara propolis pula merupakan campuran getah tanaman dan cairan khusus yang dikeluarkan oleh lebah dan ia dikatakan mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

Antara penyakit yang dilaporkan sembuh melalui kaedah rawatan tradisional mengunakan propolis termasuk diabetis, mellitus, strok, hepatitis, kanser, hipertensi, batu karang dan HIV/AIDS.

Justeru, khasiat dan keistimewaan madu lebah kelulut yang tinggi telah mendorong pesara Lembaga Pertubuhan Peladang Kelantan, Razip Ibrahim, 53, dari Kampung Petani, Sering dekat sini berusaha menternak lebah berkenaan secara komersial.

Menurut Razip, bagi setiap koloni lebah kelulut yang diletakkan dalam kotak berukuran 70 sentimeter kali 20 sentimeter mampu menghasilkan antara 200 hingga 300 gram campuran madu dan bee bread serta 200 hingga 400 gram propolis.

"Koloni kelulut akan mengeluarkan madu di dalam 'tempayan' dan menutup tempayan itu apabila madu sudah penuh, manakala bee breed juga diisi dalam tempayan tersendiri di dalam sarang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata bapa kepada lapan orang anak itu, dia mula mengetahui mengenai khasiat madu lebah kelulut setelah menyertai seminar mengenai lebah dan kelulut di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian dekat sini, pada tahun lalu.

Kebetulan katanya, pada seminar yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Kelantan itu, dia bertemu seorang pensyarah Universiti Hasanuddin Ujung Pandang, Makasar, Indonesia iaitu Prof. Mappa Toba yang menceritakan kepentingan ternakan lebah kelulut.

Bermula daripada maklumat tersebut jelasnya, dia mengkaji mengenai koloni kelulut di seluruh Kelantan termasuk di kawasan kampung dan hutan.

"Hasilnya, saya berjaya mengenal pasti empat jenis koloni kelulut pelbagai saiz termasuk bersaiz lebah," katanya yang merupakan penternak tunggal kelulut di negeri ini dengan membela 30 kotak spesies itu di pekarangan rumahnya.


Razip Ibrahim dan isterinya, Rahimah Hamat memasukkan madu yang diambil dari sarang kelulut ke dalam botol.


Mengulas lanjut Razip berkata, lebah kelulut besar mengeluarkan paling banyak madu yang boleh dikumpulkan setiap dua minggu sekali.

Setakat ini lebah-lebah kelulut yang diternak itu telah menghasilkan kira-kira 10 kilogram madu.

Bagi meyakinkan lagi masyarakat tentang khasiat madu lebah kelulut, dia bekerjasama dengan USM termasuk melakukan penyelidikan mengenai khasiat bee bread dan propolis yang dikatakan sangat berkesan dalam merawat serta mencegah pelbagai penyakit.

"Kajian dilakukan di bawah pengawasan Prof. Madya. Siti Amrah Sulaiman itu menunjukkan penggunaan madu kelulut boleh menurunkan paras glukos pesakit diabetes selain berkesan untuk mencegah kanser dan gout," katanya.

Bagi mempelbagaikan produk berasaskan madu lebah kelulut, dia turut menceburi bidang pembuatan coklat dan pelbagai produk kesihatan berasaskan madu, selain menjadi pembekal lebah kelulut kepada mereka yang berminat menceburi bidang berkenaan.

"Tidak banyak modal diperlukan bagi menternak kelulut, iaitu hanya kotak bagi menempatkan koloni kelulut itu dan ia mampu mendatangkan pendapatan lumayan kerana harga madu lebah kelulut boleh mencecah sehingga RM90 sekilogram," katanya.

Menurut Razip lagi, dia mendapatkan koloni lebah kelulut dari kawasan kampung dan hutan di Kelantan dan menempatkan lebah-lebah itu dalam kotak di sekitar rumahnya.

Katanya, setiap koloni lebah kelulut mengenali kotak 'tempat tinggal' masing-masing dan secara berterusan akan menghasilkan madu kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan 'permaisuri'.

"Menguruskan ternakan kelulut ini tidak menyusahkan kerana koloni kelulut menghisap semua jenis madu bunga yang terdapat di kawasan sekitarnya. Kelulut yang saya ternak sekarang mengeluarkan madu berbau bunga durian kerana sekarang musim pokok durian berbunga," kata Razip yang dibantu oleh isterinya, Rahimah Hamat, 53.

Jelas Razip, dia berminat untuk berkongsi kepakaran menternak kelulut dengan mereka yang berminat boleh menghubunginya menerusi 09-7648248 atau 013-9840911.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kelantan tidak dianaktiri

Posted:

Kelantan tidak dianaktiri

Kelantan tidak dianaktiri

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 19 Mei – Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi pelaksanaan pelbagai projek di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha berkata, sebahagian besar daripada peruntukan tersebut adalah untuk sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Beliau berkata, di bawah sektor pendidikan ia termasuk pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus cawangan serta politeknik bagi memberi peluang kepada anak tempatan mendapatkan pendidikan tinggi.

"Begitu juga pembinaan bangunan baru sekolah-sekolah di seluruh negeri yang diteruskan untuk kemudahan dan keselesaan anak-anak mendapatkan pendidikan," katanya berucap merasmikan Majlis Anugerah Sinar Wawasan 2011 Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (1) di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 193 pelajar cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima sijil masing-masing.

Hadir sama, Pengetua sekolah berkenaan, Wan Jah Wan Yaacob dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Radzali Ismail.

Makhtar memberitahu, Kerajaan Persekutuan juga mengeluarkan pelbagai bantuan bagi membantu pelajar miskin di negeri itu melanjutkan pelajaran sehingga ramai yang mencapai kejayaan dan mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat antarabangsa.

Beliau sehubungan itu, mengingatkan golongan pelajar supaya tidak melupakan jasa Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan segala kemudahan sehingga membolehkan mereka mencapai kejayaan seterusnya mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

Dalam ucapan itu juga Makhtar memberitahu, terdapat 117 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini dengan bilangan kakitangan seramai 80,000 orang, 30, 000 daripadanya adalah warga pendidik.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan warga pendidik dengan memberikan pelbagai insentif, sehingga membolehkan ramai pelajar dari negeri ini mencapai kecemerlangan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KIST taja 4,000 naskhah Utusan Malaysia sempena Hari Belia

Posted:

KIST taja 4,000 naskhah Utusan Malaysia sempena Hari Belia

KIST taja 4,000 naskhah Utusan Malaysia sempena Hari Belia


Mohd. Saiful Hakimi Romali (dua dari kanan) menyerahkan akhbar Utusan Malaysia sebagai simbolik penajaan kepada Abdul Hafiz Baharuddin (kanan) di Kuala Berang, Terengganu, semalam.


HULU TERENGGANU 19 Mei - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kampus cawangan Terengganu menaja 4,000 naskhah Utusan Malaysia sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini hari ini.

Pegawai Pemasaran (Pengambilan Pelajar) KIST kampus berkenaan, Mohd. Saiful Hakimi Romali berkata, ia merupakan sumbangan kecil pihaknya untuk mendekatkan golongan belia khususnya remaja terhadap amalan membaca.

Katanya, akhbar merupakan bahan bacaan popular yang murah dan Utusan Malaysia selaku media arus perdana, selain memaparkan isu semasa juga mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan menerusi sisipan-sisipan yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan usia.

Mohd. Saiful Hakimi menyerahkan tajaan itu kepada Eksekutif Jualan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Kuala Terengganu, Abdul Hafiz Baharudin di Padang Astaka, Kuala Berang di sini hari ini.

KIST yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di Pantai Timur turut membuka ruang pameran dan kegiatannya di lokasi sambutan itu selama dua hari.

Naskhah tajaan itu akan diagihkan kepada pengunjung serta penduduk sekitar bandar Kuala Berang.

Sementara itu Mohd. Saiful Hakimi memberitahu, pihaknya menyasarkan pengambilan 500 penuntut bagi sesi kemasukan Jun ini di kampus Terengganu yang menawarkan enam kursus peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan dan sains sosial.

"Ini termasuk Diploma Psikologi, Diploma Sains Senaman dan Sukan, Diploma Pembantu Farmasi, Diploma Teknologi Maklumat Perubatan dan Diploma Kesihatan Persekitaran di samping Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

"Syarat minimum adalah tiga kredit dan tertakluk kepada program yang dipohon manakala pendaftaran boleh dilakukan di semua pejabat cawangan seluruh negara atau melalui www.kist.edu.my," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Jengka 19 FELDA Jengka 19

Copyright 2010 All Rights Reserved